Nabi Ibrahim dan Jawi: Melayu?

world counts on you

Ketika terbaca di dalam buku-buku rujukan tentang Nabi Ibrahim dan desas-desus yang mengatakan kita orang Melayu keturunan Nabi Ibrahim saya pun merasa bangga. Ketika umur saya 7 tahun ibu saya pernah menyebut kita keturunan Nabi Ibrahim, wah…memang bangga betul, kembang lubang hidung rasanya. Cuma betulkah kita ini keturunan nabi. Kita berada di Asia, Tenggara pulak itu. Di tengah-tengah hutan belantara. Macam mana pertalian kita dengan orang Arab sana? Sedangkan Nabi Ibrahim itu mirip Arab jugalah. Babylonia. Ish! Sungguh tak percaya.

Namun dalam bacaan baru-baru ini iaitu pada tahun 2001, buku yang tidak menonjol tapi ada peminatnya. Saya ada terbaca perkara ini. Ketika di U pun saya ada bercerita perkara ini pada kawan-kawan. Ada yang mengangguk tanda faham dan tak kurang juga ada yang memperlekehkan butiran ini. Saya mengatakan bahawa kita bukan orang asli di Tanahair ini. Kita adalah pendatang yang baru beribu-ribu tahun lalu, sebelumnya sudah ada orang asli. Mereka tidak menempati sesuatu tempat secara sah. Berpindah randah atau nomad. Orang-orang Melayu yang tiba di sini pula mempunyai tabiat menempati dan membina tamadun pada sesuatu tempat. Apatah lagi beraja dan berkerajaan. Maka kita menguasai tanah ini dan sumbernya. Kita membuka tanah dan mewarisinya ke anak cucu, atau menjual pada orang-orang sendiri. Melayu berpindah dan melebarkan sayapnya ke pelusuk nusantara. Sehingga hampir ke Australia namun berhenti dan tidak meneruskannya. Akhirnya Melayu hanya sampai di pulau yang kini dikenali sebagai Jawa sahaja.


Melayu berasal dari Jawi. Atau bangsa Jawi. Jawi berasal dari Bangsa Turki, dari isteri Nabi Ibrahim yang bernama Qanturah. Perkataan Melayu muncul dari perkataan Malaya bererti pengembara. Menurut setengah pendapat pula Malaya ialah tanah tinggi. Tetapi yang masyhurnya ialah Malaya diambil dari kata bangsa Turki tua bererti pengembara. Bangsa Jawi atau orang Melayu adalah bangsa yang hebat mengembara di darat dan di laut. Sebab itulah digelar tanah ini Nusantara atau diambil dari kata ‘Nusa Antara Air’ lalu diringkaskan. Kerajaan pertama berpusat di Champa. Orang Melayu Champa menguasai sepenuhnya kedudukan semenanjung Tanah Melayu serta perairannya hingga ke Selat Melaka dan Sailan. Merekalah juga sehingga kini menggelarkan diri sebagai orang Jawi. Begitu juga Pattani dan Kelantan.

<><><> </></></></></></></></></></></></></></>
Kedudukan Harran antara Euphrates dan Mesopotamia.

Orang Melayu dikatakan bukan dari China menurut penemuan saya yang terbaru dan juga bukan India tetapi dari Bangsa Turki. Kerana menurut pendapat ulama tawarikh Arab yang mengatakan ibu orang Melayu ialah Qanturah. Qanturah ialah perempuan bangsa Turki. Ia adalah nama seorang puteri raja Harran, iaitu sebahagian dari wilayah jajahan Babylonia, tempat asal Nabi Ibrahim. Tetapi Al-Quran hanya menceritakan 2 orang sahaja isteri baginda yang dapat menjadi teladan yang besar sepanjang zaman iaitu Sarah dan Hajar. Sedangkan ada riwayat dari ulama tertentu seperti Ibn Kathir dan Ibn Athir menyatakan isteri baginda lebih dari dua orang. Ini menepati keadaan baginda yang mengembara untuk menyebarkan dakwah itu. Jawi ialah anak yang lahir dari perkahwinan puteri Qanturah dan Nabi Ibrahim. Cuma ketika itu Nabi Ibrahim wajib berdakwah dan menyebarkan agama Hanif. Jadi terpaksa meninggalkan isterinya. Puteri tidak boleh meninggalkan istananya. Puteri Qanturah juga mewarisi agama tersebut kerana sudah pasti ia memeluk agama suaminya. Agama Hanif ialah agama yang mengajarkan budi bahasa, budi pekerti mulia, adab dan sopan santun, menghormati orang tua, menghormati tetamu dan bergotong royong sebagai satu ukhwah. Sebab itulah, kita orang Melayu mempunyai ciri-ciri tradisi tersebut sebelum kedatangan Islam ke Nusantara lagi. Oleh kerana itulah orang Melayu atau orang Jawi senang memeluk agama Islam kerana ajaran Islam dan tradisi Melayu (yang berteraskan warisan ajaran Hanif) mempunyai persamaan. Justeru akhlak para pendakwahnya juga menarik hati penduduk Melayu ini. Jawi diperintahkan oleh baginda untuk mengambil penempatan di bahagian Tenggara Asia ini. Boleh jadi ia atas perintah Allah yang banyak hikmahnya suatu masa nanti. Wallahua’lam.

Ketika meninggalkan wilayah Harran di Turki Timur (bukan Turki yang difahami kebanyakan orang sekarang) atau wilayah jajahan Babylonia tersebut. Orang Jawi ini perlu melintasi berbagai laluan sukar dan perlu menempati sesuatu tempat selama beberapa masa tertentu sebelum meneruskan perjalanan ke tujuan yang sebenar dan terakhir itu. Bangsa Jawi yang mewarisi kecekalan bapa mereka mengembara dan mendakwah tetap cekal dan hebat. Mereka menjaga maruah sebagai bangsa Jawi yang mulia keturunan Nabi Ibrahim a.s. Setiap tempat yang disinggahi, orang-orang akan mengenali mereka sebagai bangsa mulia dan hebat warisan Nabi Ibrahim a.s. sehingga ada yang memanggil mereka sebagai keturunan Brahma atau merujuk kepada Nabi Ibrahim. Ia adalah kasta tertinggi dalam agama Hindu kini di India. Ini kerana orang Jawi atau keturunan Nabi Ibrahim ini pernah tinggal di sekitar mereka.  Secara mudahnya bangsa Brahma ini mendapat kedudukan tinggi di India dahulu kala. Kawasan utama bangsa Jawi atau Brahma ini ialah pergunungan Hi-Malaya. Ia bererti banjaran Malaya. Merujuk kepada erti Pengembara. Iaitu banjaran tempat tinggal orang Pengembara. Kini dikenali oleh kita sebagai Melayu. Jadi tepatnya ialah banjaran tersebut pernah menjadi tempat ketamadunan tua yang terbina atas titik peluh nenek moyang kita, bangsa Jawi. Mereka kenali sebagai Brahma atau keturunan Nabi Ibrahim. Wallahua’lam.

Lakaran penduduk Harran abad 12M.
Perhatikan bentuk atap bentuk kubah.
Menurut setengah pengkaji yang berminat terhadap ketamadunan tua di atas Himalaya tersebut membuktikan bahawa memang wujud atau pernah wujud satu bangsa yang tinggal di sana, bangsa yang telah hilang atau misteri. Ada setengah pula menjadikan ia satu dongeng yang mengatakan ada Bandar Ajaib atau Ghaib yang dapat menghilangkan diri serta bandarnya supaya tidak dilihat oleh manusia luar. Di samping ada gangguan radioaktif dan gelombang yang menghalang laluan orang ke kawasan tersebut. Setengahnya menceritakan kisah terdapat sebuah istana dan bandar yang menzahirkan diri dan kemudian hilang. Ada yang terserempak tetapi selepas itu pengsan, selepas dijumpai ia menceritakan tentang orang yang dilihatnya berpakaian canggih serta membawa senjata yang mengeluarkan api yakni laser. Kawasan tersebut dipenuhi salji dan terlalu sejuk. Wallahua’lam.
 
Gadis Bangsa Turki Timur
Jika dilihat dari segi rupa orang Melayu atau orang Jawi ini mempunyai iras mirip orang Turki Timur. Secara umumnya terletak di wilayah timur Turki atau dahulunya Harran. Saya pernah terserempak dengan gadis dari Turki yang berasal dari sebelah timur ini. Saya mendapati ia iras gadis Melayu kita, begitu juga wajah lelakinya iras lelaki kita dan mempunyai ciri-ciri kecinaan sedikit dan kearaban sedikit. Mirip orang Melayu. Cuma mereka lebih cantik. Kulit ada yang putih kuning dan sawo matang. Bukan seperti Turki Barat yang mirip Eropah kerana mereka itu didatangkan dari Ukraina dan Armenia ketika pemerintahan khilafah Othmaniyah. Mereka dijadikan tawanan dan hamba selepas kalah perang. Oleh sebab itu, lahirlah kacukan mirip Eropah. Sultan Murad 2 mirip Melayu dan berkulit sawo matang tetapi anaknya Sultan Muhammad El-Fatih ibunya adalah hamba sahaya dari Armenia, jadi wajahnya mirip Parsi.
  
Gadis Bangsa Turki Timur 2
Ketika orang-orang Arab datang berdakwah ke Tanah Melayu mereka menggelarkan orang Melayu ini sebagai Bani Jawi. Kerana pendakwah-pendakwah sudah sedia mengkaji akan kedatangan bangsa ini ke Tenggara Asia ini berteraskan kitab-kitab riwayat dan ulama-ulama soleh dahulu kala. Dari segi iras wajah dan budaya orang Melayu maka jelaslah perkaitan tersebut. Di sini boleh dikatakan bahawa pendakwah-pendakwah tersebut adalah orang yang terlebih dahulu menemui dan mengkaji tentang Bani Jawi atau Melayu ini berdasarkan perkaitan antara Nabi Ibrahim dan keturunannya dari Puteri Qanturah itu. Rahsia ini sudah mula dibongkarkan oleh ulama mubaligh Islam Arab dan mereka menulis kitab meriwayatkan kebenaran ini sejak lama dulu. Lantas dibuktikan dengan penemuan. Mereka menawarkan agama Islam dan menyebarkannya di seluruh pelusuk Nusantara. Orang Melayulah yang seratus peratus beragama Islam dan dikenali Melayu itu Islam serta Islam itu Melayu. Islam Melayulah dia, Melayu Islamlah dia.
 
Penempatan Harran kini di Turki
Jangan kita lalaikan jatidiri ini. Hilang jatidiri kita maka terabailah kita. Hilang maruah kita dan tergadai kemuliaan keturunan kita. Jagalah keturunan kita. Jaga agama kita. Warisan kita sepanjang zaman. Lelah keringat nenek moyang kita mempertahankan bumi serta tanahair. Mempertahankan budaya dan ajaran adat mulia. Turun temurun sejak zaman Nabi Ibrahim. Wallahua’lam.

 

Kawasan pergunungan Hi-Malaya
Kenapa orang-orang yang buta sejarah dan yang MEMBUTAKANNYA sibuk mengakui tentang KETUANAN MELAYU? Sedangkan merekalah yang membantu memalsukan sejarah. Sumbangan mereka amat-amatlah diakui. Menghunuskan keris sambil melaungkan slogan “Hidup Melayu!”, konon-kononnya. Sementara itu konco-konco mereka mula menaburkan benih perpecahan dan membantutkan usaha menjayakan kemandirian Melayu di Tanahair ini. Mereka menyekat perpaduan kaum dengan putar-belit isu demi kemenangan politik murahan mereka. Membantu menghapuskan jatidiri Melayu melalui anak-anak muda dengan membudayakan sosial murahan mereka. Menghapuskan kewibawaan bahasa Melayu yang kononnya mereka perjuangkan. Hancur sedikit demi sedikit. Tulisan Jawi ditukarkan dengan rumi. Menjatuhkan martabat Melayu dengan slogan “Melayu mudah lupa”. Melemahkan Melayu dengan kebergantungan hidup pada golongan elit pemerintah semata-mata selama mana mempergunakan mereka ketika mengundi tatkala memberi bantuan sementara bersifat jangka pendek. Mereka-mereka ini adalah golongan elit pemerintah yang bertunjangkan syaitan dan penyembahan berhala kebendaan sahaja. Wal iyazubillah.
Jikalau dilihat, adat menghormati tetamu ini masih kuat dan hebat dalam diri orang Jawi khususnya Kelantan dan Pattani. Itulah amalan sejak dari Nabi Ibrahim dan ajaran agama Hanif


2 comments:

Neutronboy berkata...

Ade word2 misalnya

ulama2 tertentu, riwayat2 ulama, kitab2 ulama,

Boleh x senaraikan nama dan riwayat serta kitabnya?

At least orang x meragukan kebenaran sbb mereka akan turut berkata "Aku pun boleh cakap, sesetengah ulama kata ni... ada kitab yang ditulis kata tu..."

bantuan sedara/tuan amat2 diharapkan. terima kasih ^^

Tanpa Nama berkata...

Tolonglah baca buku "Asal-usul Melayu: Induknya di Benua Sunda" oleh Zaharah Sulaiman (https://mazlizaothman.wordpress.com/2018/10/21/asal-usul-melayu-induknya-di-benua-sunda-jilid-1/).

Catat Ulasan

Thanks, terima kasih, hsieh hsieh, shukran, kop kun.