Sastera Dan Seni

world counts on you


Sastera memainkan peranan penting dalam menyingkap kehidupan peradaban manusia. Tanpanya kehidupan ibarat tiada tempat dalam singkapan peradaban suatu ummat. Segalanya memerlukan sastera. Ilmu-ilmu apa pun dalam kehidupan manusia memerlukan sastera. Tanpanya tiada ungkapan yang sesuai dalam menyampaikan maklumat yang diperlukan. Hatta ilmu sains sekalipun memerlukan bahasa dan sastera untuk menyingkap istilah-istilah dalam peradabannya. Ilmu matematik juga memerlukan sastera dan bahasa yang sesuai untuknya. Al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah dalam sasteranya tersendiri. Menggunakan bahasa dan sastera Arab yang tinggi lagi mendalam maknawinya. Sastera biasanya dikaitkan dengan bahasa dan cerita-cerita. Ada yang menganggap sastera hanya berkisar tentang cerita-cerita dongeng dan bahasa bunga-bunga tanpa matlamat kehidupan yang maju. Sains dan teknologi diberikan perhatian yang lebih sedangkan tanpa disedari ia menggunakan bahasa dan istilah percakapan juga, yang mana tidak boleh lari dari kemahiran bahasa dan sastera setempat. Ini berlaku di mana-mana jua di dunia ini yang menganggap kemajuan tidak memerlukan kepada bahasa dan sastera. Ini salah, ternyata kemajuan banyak berkait dengan ketinggian kemajuan bahasa sesuatu bangsa sendiri.
Suatu masa dulu, cara bercerita atau menyampaikan maklumat banyak bergantung kepada lisan dan dengar sahaja. Ia berlaku dari mulut ke mulut. Ingatan dan hafalan orang-orang dahulu kala memang kuat tanpa memerlukan kepada alat tulis. Alat tulis jarang didapati dan susah untuk mendapatkannya. Hanya sesuatu tempat tertentu sahaja yang mungkin mudah.
Untuk menyampaikan maklumat tertentu maka adalah khas bagi seorang yang mahir bercerita yang digelar Penglipur Lara dikalangan orang Melayu. Ia adalah bentuk menyampaikan maklumat atau hiburan secara lisan. Secara mudahnya, ia bergantung kepada gambaran dan khayalan orang yang mendengarnya.
Ia berubah pula kepada zaman cara bertulis. Cerita-cerita ditulis dan dibaca dikhalayak ramai. Ada juga digantung di jalan-jalan atau laluan orang ramai seperti di pasar-pasar. Selangkah demi selangkah timbul pula cara lukisan berkisar kisah-kisah kebanggaan sesuatu kaum. Ia diukir dan dipamerkan di dinding-dinding batu atau kota sesebuah kerajaan.
Kemudian, bentuk menyampaikan cerita atau maklumat ini berubah kepada segi lebih maju sedikit iaitu secara pandang dengar. Biasanya cerita disampaikan dengan memaparkan lakonan pentas atau menggunakan boneka. Contohnya bangsawan, wayang kulit dan patung. Ia terselit dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya mengikut kepentingan atau tujuan ia disampaikan. Samada untuk mengagungkan sesuatu bangsa atau mengangkat pandangan masyarakat terhadap kedaulatan raja-raja mereka.

Penyampaian maklumat atau cerita berkembang pula ke era moden di mana alat pandang dengar digunakan. Alat moden seperti radio dan TV berleluasa. Begitu juga wayang gambar yang memerlukan tenaga dan alat yang banyak untuk memaparkannya kepada umum sehingga terpaksa menggunakan latihan yang tinggi.
Sejak dahulu lakonan pentas menggunakan dialog secara langsung tanpa henti dan hafalan yang jitu. Tidak lagi dengan lakonan filem. Ini kerana lakonan filem dirakam dan boleh diolah serta diubah secara berulang-ulang kali sehingga menepati kehendak pengarah. Mata pengarah ialah juga menggambarkan mata penonton. Sebelum mula ditayangkan kepada khalayak umum ia haruslah disunting menjadikan cerita lebih lancar dan lebih difahami. Haruslah ia menepati maksud dan kehendak di sebalik penceritaan filem itu.
Filem sebagai medium penyampaian maksud, kehendak, fahaman, pengajaran, tauladan dan isu. Di samping ia sebagai medium hiburan namun ia sebenarnya menghibur di sebalik teladan cerita. Cara memberikan pengajaran dan teladan dengan cara bercerita lebih lunak dan halus. Ia lebih baik dari menasihati secara langsung atau menegur dengan emosi. Walaupun di dalam cerita ada emosi dan perasaan diselit-selit di celahnya namun begitu ia lebih kepada menarik perhatian khalayak untuk mengamatinya kerana ia diselindungkan oleh watak dalam cerita. Ia sebagai menggantikan watak sebenar di luar alam nyata ini.
Jika sesuatu isu dijadikan cerita dan disampaikan dalam bentuk filem, drama atau lakonan pentas, ia berfungsi lebih baik dan memberikan kesan positif untuk mudah ditiru atau diajuk oleh penonton. Kebanyakan cerita dalam filem, drama dan lakonan pentas akan melekat ke dalam jiwa dan minda khalayak lebih mudah dan lebih lama. Ini kerana ia mudah diikuti dan diajuk. Sayugialah jika kita membikin filem yang bercorak pengajaran positif. Sebaliknya jika perkara negatif ditunjukkan dalam filem, drama dan lakonan nescaya ia menjadi rujukan oleh anak-anak muda seperti contohnya filem-filem tentang keganasan dari Hollywood. Kita telah dipaparkan dengan filem-filem sebegini sekian lama, ada juga filem tentang perkara positif dari Hollywood, ia juga mudah diikuti sehingga seolah-olah dianggap Hollywood atau Amerika sahaja positif.
Oleh kerana fungsi filem amat berkesan dalam menyatakan sesuatu seperti kehendak masyarakat, politik, patriotik dan propaganda maka ia haruslah diambil berat. Ia bukan sahaja medium mencari glamor, selebriti, populariti atau komersil. Dari sudut hiburan, ya mungkin tetapi dari sudut sastera, tidak.
Sastera mengajarkan bagaimana kita harus menangani perfileman yang bermutu. Seni yang bermutu bukan hanya melihat kepada komersil dan populariti. Bahkan ia melihat dari beberapa sudut yang telah dinyatakan di atas iaitu pengajaran, teladan, isu propaganda dan kehendak masyarakat. Kita boleh mengangkat martabat semangat perjuangan kita, semangat cintakan tanahair dan bangsa kita melalui penceritaan filem. Seperti contohnya di Thailand ada filem King Narusuan, Queen of Langkasuka(Pattani) Jumbo Gajah Biru dan banyak lagi. Kenapa Thailand? Ini kerana banyak hasil penceritaan dalam filem adalah berkisar tentang mengangkat martabat bangsa mereka melalui kisah-kisah semangat perjuangan dan semangat cintakan tanahair. Berbanding di negara kita Malaysia yang hanya menumpukan kepada komersil dan populariti sahaja sejak mutakhir ini.

Sastera dan seni memainkan peranan yang amat penting ketika ini. Perfileman dan lakonan memberikan kesan yang besar kepada masyarakat umumnya. Ia dapat digabungkan menjadi peranan yang terbaik dan berkesan terhadap masyarakat yang positif. Akhir sekali, majulah filem untuk Negara!

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks, terima kasih, hsieh hsieh, shukran, kop kun.