“Salah orang?”

Prinsip kaedah dakwah dalam arus pembangunan Malaysia world counts on you


Lihat salah sendiri barulah tahu kebaikan orang. Begitulah kata-kata hukama. Sebenarnya manusia tidak dapat lari dari kesalahan atau kesilapan. Bukan sesuatu yang menjadi kesengajaan jika ia tidak berniat untuk berbuat salah namun tersalah jua. Jika sebaliknya kita berbuat dengan sengaja barulah itu dikatakan salah kita atau dosa kita. Sesiapa jua yang berbuat salah atau dosa diberikan lagi peluang oleh Allah untuk menyatakan taubat atau kembali semula ke jalan sebenar. Jika diibaratkan bapa dan anak, semarah mana pun bapa kepada anaknya namun akhirnya tetap jua ia diterima. Begitulah Allah dan hambanya. Manusia diberikan akal begitu juga makhluk jin. Jin dan manusia diberikan akal dan diberi pertanggungjawaban terhadap urusan duniawi agar mereka berbuat kebajikan atau kemakmuran di muka bumi. Itulah maksud firman Allah dalam Al-Qur’an Al karim, “Tidak aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadat kepadaku. Keampunan Allah tetap diberikan bagi hambanya yang ingin kembali kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Menerima Keampunan.

Manusia itu dijadikan asalnya baik. Dengan kasih sayang Allah. Ia dilahirkan suci seperti kain putih. Fitrah. Akhirnya ia dicorakkan oleh suasana dan keadaan persekitarannya. Jika baik dan soleh persekitarannya maka membesarlah ia dengan baik kekal suci. Sebaliknya jika persekitarannya buruk dan penuh noda maka ia membesar dengan keadaan itu sehingga terbawa-bawa menjadi perangainya. Wal-iyazu-billah.

Kita berkata bahawa ada orang baik dan ada orang jahat di mana-mana pun. Mungkin kita juga berkata orang di sini baik-baik belaka dan orang di sana jahat-jahat belaka. Pada pengamatan kita dan pengalaman bergaul dengan orang tertentu menjadikan kita berkata seperti itu. Cuma kita juga harus sedar bahawa tidak semua orang pada suatu tempat itu berperangai dengan satu perangai itu. Menurut rujukan dari kitab, bahawa Allah menjadikan satu tempat itu dengan beberapa jenis manusia. ada jenis baik, ada jenis jahat, ada jenis sederhana dan ada jenis lemah. Semua tempat di dunia mana pun begitu. Hatta pergilah ke Amerika atau Afrika sekalipun. Pergilah ke China atau India sekalipun kita akan menemui beberapa kelompok manusia yang berlainan ini. Jika kita sama dengan salah satu kelompok tersebut, kita akan jumpa jenis sama juga dengan kita walau ke mana jua kita pergi. Jika kita orang yang baik dan jujur, ke mana pun kita pergi maka kita akan berjumpa kawan yang jenis sama dengan kita. Begitulah sebaliknya kalau kita kaki itu dan kaki ini, kita akan jumpa kawan yang sekepala dengan kita di mana saja berada. Baik di negara kita atau di seluruh dunia.

Baik, sekalipun kita sebagai orang yang berdosa. Selagi mana kita masih berpegang dengan ajaran Islam dan tidak mensyirikkan Tuhan Maha Esa serta tidak menyembah selainnya. Insya Allah kita tetap diterima kembali ke rumah asal kita. Tempat yang kekal abadi, syurga bagi orang yang beriman. Selagi mana kita meyakini bahawa Allah dan ajaran nabi Muhammad benar. Ajaran Islam benar. Usahlah kita bimbang lagi kerana itulah satu-satunya tiket kita untuk masuk semula ke rumah asal kita “Syurga”. Namun jangan kita lupa kerana setiap kesalahan dan dosa kita dahulu perlu dibereskan sebelum kita masuk semula ke rumah itu. Tempat mencuci itu ialah “Neraka”.


Semua orang awam seperti kita –bukan wali atau sufi– perlu masuk ke tempat mencuci itu dahulu. Kita semua perlu masuk dahulu ke Neraka sehingga habis cuci segala dosa barulah diangkat dan dimasukkan ke Syurga. Hanya yang tinggal para nabi dan orang-orang yang diizinkan masuk terus tanpa Hisab ke Syurga sahaja yang tidak masuk Neraka. Setiap orang harus melalui Titian Sirat al-Mustaqim iaitu jalan yang menghubungkan Padang Mahsyar dan Syurga tetapi di bawahnya ialah lembah yang dalam seperti gaung menunggu di bawah. Di situlah kelihatan merah menyala tanda api Neraka sedang menanti sesiapa yang jatuh ke dalamnya. Maka orang yang melintas Titian itu ada yang berbagai keadaan. Ada yang pantas, lambat, terhoyong-hayang, tegak, sepantas kilat dan ada yang terus jatuh ke bawah gaung.

Setiap orang beriman dan Islam harus mendapat Syafaat nabi Muhammad dengan syarat tertentu iaitu orang yang mengucap selawat ke atas baginda SAW sewaktu di dunia. Mereka akan dikenali oleh nabi Muhammad melalui cahaya di wajahnya yang berseri-seri tandanya dia sentiasa berselawat ke atas baginda SAW. Mereka akan mendapat minuman dari telaga al-Kauthar.

Kemudian kita semua akan ditimbang amal baik dan buruk. Orang-orang yang berselawat sahaja akan ditolong dengan cara nabi Muhammad akan memberatkan timbangannya di bahagian pahala iaitu dengan cara meletakkan beberapa perkara milik baginda SAW ke atas Neraca timbangan itu. Jika sama maka dia boleh masuk Syurga.

Kita tidak boleh menuduh atau menyusahkan cara berdakwah kita pada orang dengan mengata-ngata keburukan sesama Muslim sendiri. Cara berdakwah ialah dengan mengajak dan menarik orang mendekati kita. Barulah dakwah itu boleh sampai. Sebaliknya dengan cara menghamburkan kata-kata kesat dan kasar akan menjauhkan mereka dari kita, jadi buat apalah kita menghabiskan airliur kita berdakwah. Lebih baik kita halau sahaja mereka. Jika kita melihat keburukan sesama Muslim sebaik-baiknya ialah kita perlu cuba menyembunyikan perkara itu. Sementelah pula didengar oleh orang yang bukan Islam, tentulah mereka akan memandang rendah martabat orang Islam kerana kejadian yang mengaibkan orang Islam sendiri. Orang bukan Islam walau bagaimana pun mereka berbuat baik mereka tetap ahli Neraka. Hanya kerana syirik pada Allah mereka ditolak segala kebaikannya. Jadi, di sini kita selalu mendengar laporan kononnya orang Islam begitu dan begini, gejala sosial dan jenayah menjadi isu utama di akhbar-akhbar dengan menonjolkan statistik kebobrokan orang Islam. Ini menambahkan lagi prasangka buruk orang bukan Islam terhadap agama Islam sendiri. Sungguh merugikan. Sedangkan orang-orang yang kufur dan tidak beriman sementelah lagi tidak akan mencium bau syurga. Mereka diagung-agungkan seolah-olah kononnya tidak bersalah atau lebih baik dari orang islam. Walhalnya, mereka sepatutnya dibiarkan saja dalam keadaan mereka itu berbuat maksiat kerana tiada gunanya mereka itu berbuat baik atau amal soleh sedang mereka akan tetap ke Neraka di akhirat nanti. Lihat sahaja para pelacur dari China saban hari ditangkap dan dibebaskan sedangkan pemerintah membiarkan saja orang islam menjadi ramai sebagai pelacur dan tukang urut di rumah urut. Kenapa ini berlaku? Kenapa mengambil berat hal orang kafir? Biarkan saja mereka itu asalkan kita menjaga orang islam dari terjerumus ke kancah hina itu. Kita menyusahkan diri kita menjaga hal orang lain dan tidak merasa terancam terhadap orang islam sendiri. Kenapa pula bila orang islam tidak menjaga Islam kita lihat pemerintah tidak menyibukkan diri tetapi bila orang bukan islam memuliakan Islam seperti membaca Al-Quran dan cuba memahaminya kita perhatikan pemerintah mulai sibuk menjaga tepi kain mereka kononnya berdosa dan menghina Islam. Tidakkah ini ganjil?

Kita mengenali Islam itu sendiri sangat mengambil berat pada umatnya. Islam mengajar kita menjadi insan yang taat dan soleh terhadap Tuhannya. Islam itu agama nasihat. Ia bukan menghadkan sesiapa tanpa bicara. Ia memberi peluang untuk semua insan baik yang sudah Islam atau yang belum, yang sudah alim atau yang masih jahil. Asalnya manusia itu baik kemudian ada perkara yang menyebabkan ia terjerumus ke lembah hina, Allah memberi peluang untuknya kali kedua. Pintu taubat masih terbuka dan hingga hari kematiannya. Manusia tidak lekang dari kesilapan tetapi Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Lambat laun manusia akan kembali semula ke pangkal jalan samada ia insaf atau mengetahui kebenarannya. Sebaiknya kita memberi peluang untuk saudara kita sesame Islam untuk bertaubat, janganlah dikata atau dicerca sebaiknya ialah mendoakan untuknya agar kembali semula ke pangkal jalan. Rasulullah telah berkata kepada sahabat-sahabat baginda ketika mereka memaki hamun seorang perempuan lacur setelah ia mati selepas dikenakan hukuman hudud, “Wahai sahabat-sahabat sekelian tahukah kalian yang perempuan ini telah diterima taubatnya oleh Allah? Jadi janganlah dikutuk ia bahkan doakan kebaikan untuknya.”


Kita percaya ada beberapa orang yang insaf setelah berdosa dan kembali bertaubat akhirnya ia menjadi lebih alim dan arif dalam agamanya berbanding orang lain yang sentiasa baik sebelum ini. Bahkan orang yang sudah sedia baik pun belum tentu lebih arif dalam agamanya. Ketika itu ia sudah belajar dan memahami al-Quran dan terjemahannya malah boleh mentafsirnya sedangkan orang yang mengaku baik sebelum ini pun tiada kelebihan tersebut. Berapa orang yang dulunya kafir selepas ia masuk Islam akhirnya kita dapati mereka mengajar pula agama Islam melebihi orang yang sudah Islam tapi masih tidak berkembang? Mereka mengkaji dan mempelajari Islam melalui pembacaan dan terjemahan isi kandungan al-Quran. Mereka bukan masuk Islam kerana mengikut orang Islam atau melihat tingkah laku umat Islam zaman kini. Jikalau demikian sudah tentulah mereka akan tetap kufur dan tidak masuk Islam langsung kerana perangai orang Islam sendiri tidak memberi contoh Islamik kepada mereka. Tetapi agama Islam adalah benar dan tetap benar sehingga tiada sesiapa menggugatnya walaupun ada yang mencuba berbuat begitu. Agama islam adalah agama yang benar, semakin kita atau mereka menafikannya semakin ia mengembang dan menyinarkan kebenarannya. Allah Maha Besar.

Oleh itu janganlah kita cuba dan mencuba untuk menyalahkan sesiapa tetapi lihatlah diri kita sendiri dahulu kerana setiap nasihat dalam Islam itu adalah untuk diri sendiri, renungkanlah diri kita bila mendapati sesuatu kebenaran itu dan bukan menuding jari pada orang lain. Saidina Omar Al Khattab pernah merasakan apa yang disabdakan oleh Rasul SAW berkenaan suatu kaum yang ditimpa azab itu adalah dirinya. Lalu dirinya merasa sedih dan menangis sendiri kerana terlalu takut dan meminta ampun pada Allah. Nah! Kita lihat di sini kenapa Saidina Omar tidak menuding jari kononnya orang itu begitu seperti hadis ini, pada orang lain bahkan melihat pada dirinya sendiri? Ya, itulah yang perlu dilakukan juga. Orang Islam lain perlu berbuat demikian juga. Islam itu adalah sebenarnya contoh untuk semua manusia. Bukan kerana dia nabi, sahabat nabi atau wali. Kita semua umatnya yang perlu mengikut contoh nabi dan sahabatnya bukankah nabi diutuskan sebagai contoh akhlak mulia?

Wallahualam bissawab.

0 comments:

Catat Ulasan

Thanks, terima kasih, hsieh hsieh, shukran, kop kun.