Bab Satu

}Bab Pada Menyatakan Kejadian Adam ‘alaihi-s-salam{

Kata Ibn Abbas r.anhuma, “Dijadi Allah akan jasad Adam ‘alaihi-s-salam daripada segala aqalim dunia, maka kepalanya daripada tanah Kaabah, dan dadanya daripada tanah segala pihak Bumi, dan belakangnya dan perutnya daripada tanah Hindi, dan dua tangannya daripada tanah Masyriq, dan dua kakinya daripada tanah Maghrib”. (Dan pada riwayat) yang lain kata Wahab Bin Munabbih, “Dijadi Allah akan Adam ‘alaihi-s-salam daripada tujuh petala Bumi, maka kepalanya daripada bumi yang pertama dan batang lehernya daripada bumi yang kedua dan dadanya daripada bumi yang ketiga dan dua tangannya daripada bumi yang keempat dan belakangnya dan perutnya daripada bumi yang kelima dan pehanya dan punggungnya daripada bumi yang keenam dan dua betisnya dan dua tapak kakinya daripada bumi yang ketujuh”. (Dan pada riwayat) yang lain kata Ibn Abbas r.anhuma, “Dijadi Allah akan Adam ‘alaihi-s-salam, maka kepalanya daripada tanah Bait-ul-Maqdis dan mukanya daripada tanah Syurga dan dua telinganya daripada tanah Tur-Sina’ dan dahinya daripada tanah Iraq dan giginya daripada tanah Kauthar dan tangan yang kanan serta anak jarinya daripada tanah Kaabah dan tangan kirinya daripada tanah Parsi dan dua kakinya serta betisnya daripada tanah Hindi dan tulangnya daripada tanah bukit dan auratnya daripada tanah Babyl dan belakangnya daripada tanah Iraq dan perutnya daripada tanah Khurasan dan hatinya daripada Firdaus dan lidahnya daripada tanah Taif dan dua matanya daripada tanah Haud. (Dan tatkala adalah) kepalanya daripada tanah Bait-ul-Maqdis jadilah ia tempat akal dan cerdik dan berkata-kata dan tatkala adalah telinganya daripada tanah Tur-Sina’ jadi ia tempat mendengar nasihat dan tatkala adalah dahinya daripada tanah Iraq jadi ia tempat sujud bagi Allah taala dan tatkala mukanya daripada tanah Syurga jadilah ia tempat keelokan dan perhiasan dan tatkala dua matanya daripada tanah Haud jadilah ia tempat keelokan rupa dan tatkala giginya daripada tanah Kauthar jadilah ia tempat manis rupa dan tatkala tangannya yang kanan daripada tanah Kaabah jadi tempat berkat dan tempat bertolong-tolong pada mengerjakan kehidupan dan tempat bermurah-murah dan tatkala adalah tangannya yang kiri daripada tanah Parsi jadilah ia tempat bersuci dan istinja’ dan tatkala adalah perutnya daripada tanah Khurasan jadi ia tempat lapar dan tatkala auratnya daripada tanah Babyl jadilah ia tempat syahwat dan perdaya dan tatkala tulangnya daripada tanah bukit jadilah ia tempat kekerasan dan tatkala hatinya daripada tanah Firdaus jadilah ia tempat iman dan tatkala lidahnya daripada tanah Taif jadilah ia tempat syahadah dan tadarru’ dan doa kepada Allah dan dijadikan padanya sembilan pintu, tujuh pada kepala iaitu dua mata dan dua telinga dan dua lubang hidung dan mulut dua pada badannya yaitu qubulnya dan duburnya dan dijadikan baginya pancaindera yang lima yaitu pelihat pada mata dan pendengar pada telinga dan perasa pada mulut dan penjabat pada dua tangan dan pencium pada hidung. (Dan dikatakan) tatkala berkehendak Allah bahawa ditiupkan Roh pada Adam ‘alaihi-s-salam disuruh Allah akan Roh bahawa masuk ia padanya dan bahawasanya Roh itu masuk daripada otaknya, maka berkeliling ia padanya kadar dua ratus tahun kemudian turun pada dua matanya maka menilik ia kepada dirinya maka melihat akan dirinya tanah yang kering maka tatkala sampai kepada dua telinganya mendengar ia akan tasbih Malaikat kemudian turun ia kepada hidungnya maka bersin maka tatkala selesai daripada bersinnya turun ia kepada mulutnya dan lidahnya dan kepada dua telinganya dan diajar Allah Taala akan dia bahawa berkata (Alhamdulillah) maka dijawab akan dia (Yarhamuka Rabbuka ya Adam) yakni diberi rahmat akan dikau oleh Tuhan engkau hai Adam. Kemudian maka turun Roh kepada dadanya maka bersegera ia hendak berdiri dan tiada dapat akan dia dan demikian itulah firman Allah taala (Wa kana-l-Insanu ‘Ajula) maka tatkala sampai Roh kepada perutnya maka ingin ia akan makanan kemudian bertaburan dan mesra Roh kepada segala jasadnya maka jadi ia daging dan darah dan segala urat-urat dan perteguhan segala sendi kemudian dipakaikan dia oleh Allah pakaian daripada kuku yakni kulit yang sangat halus seperti kuku bertambah-tambah pada tiap-tiap hari keelokan dan jamal. Maka tatkala mengerja ia akan dosa yakni rupa dewasa ditukar Allah akan kulit yang seperti kuku itu dengan kulit betul dan tinggal daripadanya yang tinggal pada hujung ruas anak jarinya supaya teringat ia dengan yang tersebut akan awal halnya. Maka tatkala disempurna Allah akan kejadian Adam ‘alaihi-s-salam dan ditiup padanya akan Roh dan dipakaikan dia daripada pakaian Syurga dan Nur Muhammad berkilat-kilat pada mukanya seperti bulan penuh purnama kemudian diangkatkan dia atas sarir dan ditanggungkan dia atas segala tengkuk Malaikat. Firman Allah taala bagi mereka itu, “Keliling olehmu dengan dia pada tujuh petala langit dengan sarirnya supaya melihat ia akan segala ajaib tujuh petala langit dan barang yang di dalamnya maka bertambah-tambah ia yakin.” Maka berkata segala Malaikat, “Hai Tuhan kami, telah kami mendengar dan kami mengikut suruh maka menanggung akan dia segala Malaikat atas tengkuk mereka itu dan berkeliling mereka itu dengan dia pada tujuh petala langit kadar seratus tahun.” Kemudian dijadikan baginya seekor kuda daripada kasturi yang putih yang sangat harum dinamakan kuda itu Maimun dan baginya dua sayap daripada Muntiara(/Mutiara)* dan Marjan. Maka menunggang akan dia Adam ‘alaihi-s-salam dan Jibrail mengambil dengan kekangnya dan Mikhail pada kanannya dan Israfil pada kirinya dan berkeliling mereka itu dengan dia pada tujuh petala langit sekeliannya dan memberi salam ia atas Malaikat. Maka katanya, “Assalamualaikum” dan berkata mereka itu, “Waalaikumussalam”. Maka firman Allah taala, “Hei Adam, inilah haluan engkau dan haluan segala Mu’minin daripada zuriat engkau pada barang yang antara mereka itu hingga sampai Hari Kiamat.” Maka diamlah Nabi Adam di dalam Syurga. (Kata Kasa’i) tatkala dijadi Allah akan Adam dijadi daripada tulang rusuknya yang kiri akan Hawa padahal ia di dalam Syurga dan ditaruhkan pada Hawa keelokan tujuh puluh anak blidari(/bidadari)* maka jadilah Hawa antara segala anak blidari itu seperti bulan antara segala bintang-bintang dan adalah Nabi Adam tidur ia maka tatkala jaganya dihulurkan tangannya kepada Hawa. Maka dikatakan baginya, “Hingga engkau tunaikan isi kahwinnya dahulu.” Katanya, “Dan apa isi kahwinnya?” Katanya, “Bahawa engkau selawat atas Nabi Muhammad tiga kali.” Kata Qila “hingga engkau mengajar akan Hawa segala ilmu agamanya”. Dan adalah Nabi Adam ‘alaihi-s-salam dihantarkan dia oleh Allah daripada keelokan dan kamal hingga bahawasanya pipinya yang kanan mengalahkan cahaya matahari. Dan adalah Nur Muhammad s.a.w. pada pipinya yang kanan dan pipinya yang kiri mengalahkan cahaya bulan. Dan adalah Nur Nabi Yusuf ‘alaihi-s-salam padanya. Maka tatkala memandang Nabi Adam pada muka Hawa dan memandang Hawa pada muka Adam, katanya, “Ya Hawa, tiada kulihat bahawa Allah taala menjadikan makhluk terlebih elok daripada kamu dan aku.” Maka diwahyu Allah kepada Jibril, “Ambil olehmu dengan tangan Hawa dan Adam kepada Syurga al-Firdaus al-A’la dan engkau bukakan bagi keduanya satu maligai daripada beberapa maligai!”. Maka dibukakan pintu maligai yang ada ia daripada Yakut merah padanya kubah daripada kapur atas beberapa tiang daripada Zabarjad di dalam kebun daripada Za’faran. Maka dibuka Jibril pintu kubah itu. Maka melihat Adam akan sarir daripada emas, beberapa tiangnya daripada muntiara. Ada atasnya seorang perempuan yang muda baginya Nur dan cahaya dan atas kepalanya makota daripada emas ditatahkan dengan segala permata, tiada melihat Adam terlebih elok daripadanya atas rupa yang elok. Maka kata Adam, “Hai Tuhanku, siapakah rupa ini?” KataNya, “Fatimah anak Muhammad s.a.w.” Katanya, ”Hai Tuhanku, siapa suaminya?” Maka firman Allah taala, “Hai Jibril, buka olehmu pintu maligai daripada Yaqut!” Maka dibukakan baginya. Maka melihat ia padanya satu kubah daripada kapur, di dalamnya sarir daripada emas, atasnya seorang yang muda keelokannya seperti keelokan Nabi Yusuf ‘alaihi-s-salam. Maka firmanNya, “Inilah suaminya!”, yaitu Ali bin Abi Talib. Maka kata Adam, “Hai Tuhanku, adakah bagi keduanya anak?” Maka disuruh Allah akan Jibril bahawa dibuka satu pintu maligai yang ada ia daripada Lu’lu’ itu di dalamnya satu kubah daripada Zabarjad di dalamnya sarir daripada Anbar atasnya rupa Hasan dan Husin r.anhuma. Maka kembalilah Nabi Adam kepada tempatnya. Tatkala dikahwin Allah taala akan dia dengan Hawa ditabur atas keduanya oleh Malaikat pertaburan Syurga. Kemudian maka disuruh Allah taala akan Jibril bahawa didatangkan dengan kuda daripada Syurga, pakaiannya daripada kasturi dan kapur dan Za’faran, baginya beberapa sayap daripada segala permata. Maka menunggang akan dia Adam ‘alaihi-s-salam dan menunggang Hawa atas unta pelari daripada beberapa unta Syurga dan mengiringi segala Malaikat pada kanan keduanya dan kiri keduanya hingga masuk keduanya pada Syurga Jannatu Adeni. Maka tiba-tiba dengan satu sarir baginya tujuh ratus tiang daripada segala bagai permata dan atas sarir itu empat kubah, yaitu qubbat-ur-ridhwan dan qubbat-ul-ghafran dan qubbatu-ur-rahmah dan qubbat-ul-karmi. Maka didiami padanya Adam dan Hawa dan telah didatangkan bagi keduanya dengan segala buah-buah kayu Syurga. Kemudian berpindah keduanya kepada qubbat-ur-rahmah dan menyeru oleh yang menyeru, “Hei, ahli tujuh petala langit bahawasanya telah dikahwin Allah akan Adam dengan Hawa dan telah diharuskan bagi keduanya segala barang yang di dalam Syurga melainkan pohon kayu ini jua.” Maka tatkala telah terdahulu di dalam Ilmu Allah barang yang terdahulu ia, turunlah Nabi Adam yakni kepada bumi daripada Bab-at-Taubah dan turun Hawa daripada Bab-ar-Rahmah. Dan Iblis daripada Bab-al-Laknah dilaknatkan dia oleh Allah. Dan turun ular daripada Bab-as-Sukhti dan burung merak daripada Bab-al-Ghadab. (Dan tersebut) di dalam kitab Rabi’-ul-Abrar, telah buting(/bunting)* Hawa dengan Habil serta saudaranya yang perempuan di dalam Syurga. Dan diperanakkan keduanya dengan ketiadaan mengidam dan sakit, dahulu daripada dimakankan pohon itu. Dan Qabil serta saudaranya pada dunia. Wallahu-a’lam. (Riwayat Abdullah ibn Abi Qutaibah) di dalam kitab Al-Ma’arif bahawasanya Nabi Adam hidup ia seribu tahun. (Dan adalah antara) matinya dan antara taufan Nuh dua ribu tahun dan dua ratus tahun dan empat puluh dua tahun. (Dan antara) taufan dan antara mati Nabi Nuh tiga ratus lima puluh tahun. (Dan antara) Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim dua ribu tahun dan empat puluh tahun. (Dan antara) Nabi Ibrahim dan Nabi Musa sembilan ratus tahun. (Dan antara) Nabi Musa dan antara Nabi Daud lima ratus tahun. (Dan antara) Nabi Daud dan Nabi Isa seribu tahun dan dua ratus tahun. (Dan antara) Nabi Isa dan antara Nabi Muhammad salawatullah ‘alaihim ajma’in enam ratus tahun dan dua puluh tahun. Maka daripada masa Nabi Adam hingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. tujuh ribu tahun dan delapan ratus tahun. Dan daripada diperanakkan Nabi s.a.w. kepada tahun kita ini delapan ratus dan enam puluh tiga tahun. Maka adalah jumlah tarikh daripada masa Bani Adam kepada hari kita ini yaitu tahun delapan ratus dua puluh dua tahun daripada Hijrah. Jadi delapan ribu tahun dan enam ratus enam puluh tiga tahun (dan menyangka setengah manusia) bahawasanya dibilangkan dahulu daripada Adam yang dibangsakan kepadanya ini seribu Adam dan dua ratus Adam. Maka sekeliannya harus karena masuknya di bawah imkan dan masuk ia pada Hadd-al-Ijad.
read more